Author: yasmin

  • Maxim Malaysia Raikan Bulan Kemerdekaan 2026 Menerusi Inisiatif Komuniti dan Semangat Perpaduan

    Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 menjadi platform buat Maxim Malaysia untuk memperkukuh komitmennya terhadap komuniti menerusi pelbagai aktiviti yang menekankan nilai keterangkuman, keprihatinan dan kebersamaan. Sepanjang Ogos 2026, syarikat itu menggerakkan beberapa inisiatif di Sabah dan Pahang dengan melibatkan rakan-penghantar, keluarga, organisasi komuniti serta orang awam.

    Antara usaha yang mendapat perhatian ialah program CSR Maxim Malaysia bersama Persatuan Orang Pekak Tawau, yang memberi sokongan kepada 94 orang murid dari Tahun 1 hingga Tahun 6. Menerusi program tersebut, para pelajar menerima bahan persekolahan dan keperluan pendidikan bagi membantu memenuhi sebahagian keperluan pembelajaran mereka.

    Program berkenaan turut diserikan dengan aktiviti yang menyeronokkan dan interaktif, sekali gus memberi peluang kepada wakil Maxim untuk berinteraksi secara langsung dengan para pelajar. Pendekatan tersebut bukan sahaja memberi sokongan dari segi keperluan pendidikan, malah membantu mewujudkan suasana yang membuatkan para pelajar berasa dihargai dan diterima oleh masyarakat.

    Ketua Maxim Tawau, Rizwan Azwanshah, berkata peranan Maxim tidak terhad kepada penyediaan perkhidmatan pengangkutan semata-mata. Sebaliknya, syarikat turut melihat dirinya sebagai sebahagian daripada komuniti setempat dan berusaha memberikan sumbangan yang mampu membawa perubahan positif kepada kehidupan masyarakat.

    Usaha memperkukuh hubungan dengan komuniti turut diteruskan menerusi penyertaan Maxim dalam Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 di Sabah. Bermula pada 1 Ogos di Kota Kinabalu, perjalanan tersebut membawa semangat Merdeka ke Penampang, Putatan, Papar, Tuaran, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu sebelum berakhir di Kota Kinabalu pada 31 Ogos.

    Sepanjang perjalanan, pasukan KMJG mengadakan pelbagai aktiviti bersama masyarakat termasuk sesi kesedaran, kuiz dan program interaktif. Kehadiran di sekolah, dewan komuniti dan lokasi awam turut membuka peluang untuk berinteraksi dengan penduduk setempat serta menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada komuniti yang memerlukan.

    Di Pahang, Maxim turut menggalakkan penglibatan keluarga dan rakan-penghantar menerusi penyertaan dalam Perarakan Merdeka utama di Kuantan. Kehadiran mereka memberikan gambaran bahawa sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar acara rasmi, tetapi juga ruang untuk masyarakat daripada pelbagai latar belakang berkumpul dan meraikan semangat perpaduan.

    Keseluruhan inisiatif tersebut memperlihatkan pendekatan Maxim Malaysia dalam menggunakan sambutan Merdeka sebagai peluang untuk memperkukuh hubungan dengan masyarakat. Daripada pendidikan dan keterangkuman kepada penglibatan komuniti serta patriotisme, usaha ini mencerminkan kepentingan kerjasama semua pihak dalam membina masyarakat yang lebih prihatin dan bersatu.

  • YGold Tingkat Tadbir Urus Syariah Dalam Perniagaan Emas

    YGold Tingkat Tadbir Urus Syariah Dalam Perniagaan Emas

    Komitmen YGold Sdn Bhd dalam memastikan urus niaga emas yang telus dan beretika diperkukuh menerusi pelantikan Dr Haji Zaharudin Abd Rahman sebagai Penasihat Syariah syarikat.

    Pelantikan Pengarah Urusan Elzar Shariah & Technology Solution Sdn Bhd itu dimeterai menerusi majlis tanda tangan dan penyerahan surat pelantikan yang berlangsung di YGold Kuala Lumpur pada 29 Ogos 2026.

    Pengerusi Eksekutif YGold Sdn Bhd, Tuan Zahrin Ibrahim hadir bagi menyaksikan majlis berkenaan bersama Dr Haji Zaharudin Abd Rahman.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YGold Sdn Bhd, Tuan Shahfizzam Moideen, pelantikan tersebut merupakan langkah penting bagi meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap perkhidmatan dan urus niaga emas yang ditawarkan syarikat.

    Katanya, kepakaran Dr Haji Zaharudin dalam kewangan Islam, muamalat dan transaksi emas menjadi antara faktor utama pelantikan beliau sebagai Penasihat Syariah.

    Beliau akan berperanan memberikan pandangan serta bimbingan berkaitan aspek Syariah supaya operasi, struktur perniagaan dan transaksi emas YGold sentiasa mengambil kira prinsip Syariah.

    Shahfizzam turut menjelaskan bahawa pematuhan Syariah bukan hanya berkaitan pengiktirafan, malah menjadi asas kepada pembentukan perniagaan yang mengutamakan ketelusan, etika dan kepercayaan pelanggan.

    Langkah tersebut juga diharap dapat memberikan kefahaman yang lebih jelas kepada masyarakat mengenai prinsip Syariah dalam urus niaga emas, di samping memastikan setiap transaksi dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah.

    Sementara itu, YGold baru baru ini menganjurkan Mega Festival ke 2 di cawangan YGold Kuala Lumpur selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Ogos 2026.

    Festival tersebut menampilkan pelbagai promosi dan tawaran kepada pengunjung termasuk emas baharu dan preloved tanpa upah, koleksi silver, berlian serta gold bar daripada pelbagai jenama.

    Antara tarikan lain ialah gold bar baharu pada harga di bawah pasaran, tawaran buy back dan trade in tertinggi, cincin belah rotan bawah RM300 serta bidaan dengan harga permulaan RM10.

    YGold turut menyediakan pelbagai hadiah menarik dan 200 hamper kepada pengunjung. Mereka yang hadir dengan pakaian bertemakan kemerdekaan pada 30 Ogos turut menerima hadiah atau saguhati khas daripada YGold.

    Penganjuran Mega Festival itu merupakan cetusan idea Shahfizzam dalam usaha memberikan pengalaman dan tawaran terbaik kepada pelanggan YGold. Edisi terdahulu yang berlangsung di YGold Kajang berjaya merekodkan jualan sebanyak RM1.2 juta.

    YGold Kuala Lumpur yang terletak di G 02 B, No. 117, Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru, Kuala Lumpur merupakan cawangan ketiga YGold dan mula beroperasi pada 22 Mei 2026.

    Cawangan tersebut menawarkan perkhidmatan jualan emas baharu dan terpakai, penjualan gold bar, pembelian surat pajak serta perkhidmatan buy back dan trade in.

  • Pengalaman Tujuh Tahun di Indonesia Cetus Inspirasi AVOCake Pukis & Delight

    Pengalaman Tujuh Tahun di Indonesia Cetus Inspirasi AVOCake Pukis & Delight

    Minat mendalam terhadap masakan Indonesia menjadi pencetus kepada penubuhan AVOCake Pukis & Delight oleh Dr. Shamsiah Yaakob. Pengalaman selama tujuh tahun menetap di Indonesia membuka ruang kepada beliau untuk mengenali dengan lebih dekat kepelbagaian makanan dari pelbagai wilayah di negara berkenaan. Pengetahuan dan pengalaman tersebut akhirnya mendorong beliau membawa cita rasa Indonesia ke Malaysia melalui sebuah perniagaan kulinari.

    Sepanjang berada di Indonesia ketika berkhidmat sebagai pensyarah di Universitas Diponegoro, Semarang, Dr. Shamsiah mengambil peluang mempelajari cara penyediaan pelbagai makanan tempatan. Minatnya terhadap dunia masakan turut mendorong beliau mendalami keunikan setiap hidangan serta kaedah penyediaannya. Baginya, kekayaan makanan Indonesia mempunyai potensi besar untuk diperkenalkan kepada pelanggan di Malaysia.

    Idea tersebut mula direalisasikan pada tahun 2025 dengan pembukaan sebuah outlet kecil AVOCake Pukis & Delight di UTC Ampangan, Seremban. Sambutan positif yang diterima daripada pelanggan memberikan keyakinan untuk mengembangkan perniagaan dengan membuka sebuah lagi restoran di Sikamat, Seremban pada penghujung Disember tahun lalu. Perkembangan itu kemudiannya membawa kepada pembukaan restoran di Kuala Lumpur.

    Kehadiran AVOCake Pukis & Delight di Kuala Lumpur turut dipengaruhi oleh kunjungan Ratieh Sanggarwaty Zen bersama kumpulannya ke restoran di Sikamat. Ratieh, yang merupakan Presiden Komunitas Ibu Cerdas Indonesia (KICI), melihat potensi restoran tersebut untuk diperluaskan ke ibu negara. Hasil pertemuan itu membawa kepada kerjasama bersama beberapa pelabur yang akhirnya membantu merealisasikan pembukaan cawangan Kuala Lumpur.

    Sebagai sebuah restoran family dining, AVOCake Pukis & Delight menawarkan pelbagai hidangan yang mencerminkan kekayaan kulinari Indonesia. Menu seperti Iga Bakar, Sate Kambing Madura, Sup Konro, Nasi Bakar, Tempe Mendoan, Batagor, Cilok dan Sempol menjadi antara pilihan yang boleh dinikmati pelanggan. Pukis serta manisan dan minuman berasaskan avokado pula memberikan sentuhan istimewa kepada pilihan menu restoran.

    Lebih daripada sekadar restoran, AVOCake Pukis & Delight mahu menjadikan makanan sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat Malaysia dengan budaya Indonesia. Setiap hidangan yang ditawarkan membawa elemen tradisi, kreativiti dan keunikan tersendiri. Pada masa sama, restoran ini turut menyimpan aspirasi untuk memperkenalkan makanan Malaysia kepada masyarakat Indonesia pada masa akan datang.

    Dengan pembukaan di Kuala Lumpur, AVOCake Pukis & Delight kini bersedia untuk mendekati lebih ramai penggemar makanan Indonesia. Restoran ini menggabungkan pengalaman kulinari, suasana mesra keluarga dan kepelbagaian hidangan dalam satu lokasi. Menerusi pendekatan tersebut, AVOCake Pukis & Delight berharap dapat mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi baharu untuk menikmati sajian Indonesia di Malaysia.

  • Debut Cemerlang Stratus Global Tarik Perhatian Pelabur

    Debut Cemerlang Stratus Global Tarik Perhatian Pelabur

    Stratus Global Holdings Berhad (Stratus Global), pakar dalam sistem pengendalian bahan automatik bilik bersih (Automated Material Handling System, AMHS) untuk industri semikonduktor, mencatatkan penampilan sulung yang cemerlang di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad apabila sahamnya dibuka pada harga RM1.96 sesaham, bersamaan premium 145% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM0.80 sesaham.

    Syarikat disenaraikan di Bursa Malaysia di bawah nama saham STRATUS dengan kod saham 5356. Prestasi pembukaan yang kukuh ini mencerminkan keyakinan tinggi pelabur terhadap asas perniagaan serta prospek pertumbuhan jangka panjang Stratus Global dalam industri automasi semikonduktor.

    Stratus Global menawarkan penyelesaian AMHS secara menyeluruh yang merangkumi reka bentuk, fabrikasi, pemasangan dan pentauliahan sistem automasi untuk persekitaran bilik bersih. Portfolio syarikat merangkumi AMHS berasaskan penghantar, AMHS hibrid serta Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik (ASRS), yang disokong oleh perisian kawalan pengangkutan proprietari IntelliMove.

    Penyelesaian yang dibangunkan syarikat digunakan bagi mengautomasikan pergerakan, pengendalian dan penyimpanan bahan kritikal dalam kemudahan pembuatan semikonduktor, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi, ketepatan dan kebolehpercayaan proses pengeluaran.

    Melalui IPO tersebut, Stratus Global berjaya mengumpul sebanyak RM285 juta hasil penerbitan 356.25 juta saham baharu. Selepas penyenaraian, syarikat mempunyai modal saham terbitan yang diperbesarkan kepada 1.25 bilion saham.

    Dana yang diperoleh daripada IPO akan dimanfaatkan untuk mempercepatkan pertumbuhan syarikat. Sebanyak RM122.60 juta diperuntukkan bagi pengembangan kemudahan termasuk pembinaan fasiliti pembuatan baharu di Pulau Pinang bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran serta menyokong pelaksanaan projek berskala lebih besar.

    Selain itu, RM20 juta akan digunakan untuk memperluaskan operasi luar negara melalui penubuhan pejabat jualan dan kejuruteraan di pasaran semikonduktor strategik. Sebanyak RM45 juta pula diperuntukkan bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mempertingkatkan penyelesaian AMHS, pembangunan perisian IntelliMove dan inovasi produk baharu.

    Syarikat turut memperuntukkan RM82.40 juta sebagai modal kerja bagi menyokong operasi harian, pelaksanaan projek dan pertumbuhan perniagaan, manakala RM15 juta digunakan bagi menampung kos penyenaraian.

    Dari kiri: Tan Ming-li, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Stratus Global Holdings Berhad; Teh Su-Ching, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Stratus Global Holdings Berhad; Tan Chan Chin, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Operasi Stratus Global Holdings Berhad; Ryo Narisawa, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Stratus Global Holdings Berhad; Fazrin Azwar Md. Nor, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Stratus Global Holdings Berhad; Duta Besar Jepun ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Noriyuki Shikata; David Lim, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Kay Hian (UOBKH); Tan Meng Kim, Pengarah Urusan Pasaran Modal UOB Kay Hian (UOBKH); serta Samivel Krishnamoorthy, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Stratus Global Holdings Berhad.

    Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Stratus Global Holdings Berhad, Ryo Narisawa, berkata penyenaraian di Bursa Malaysia merupakan satu pencapaian penting dalam sejarah syarikat dan mencerminkan kepercayaan pelabur terhadap model perniagaan serta potensi pertumbuhan jangka panjangnya.

    Beliau berkata hasil IPO akan membolehkan syarikat mengembangkan kapasiti pengeluaran, memperkukuh keupayaan penyelidikan dan pembangunan serta meningkatkan keupayaan dalam memenuhi permintaan pelanggan di pasaran semikonduktor global. Menurut beliau, Stratus Global kekal komited menyediakan penyelesaian AMHS yang berkualiti tinggi sambil terus mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian nilai automasi semikonduktor.

    Dengan pengalaman operasi selama 28 tahun dalam segmen AMHS, Stratus Global telah membangunkan kepakaran dalam penyelesaian automasi bilik bersih untuk industri semikonduktor. Teknologi syarikat membantu pelanggan meningkatkan kecekapan pengendalian bahan, mengurangkan pergantungan kepada proses manual serta memastikan aliran pengeluaran yang lebih lancar.

    AMHS hibrid yang digabungkan dengan perisian IntelliMove turut direka untuk mengoptimumkan penghalaan dan penjadualan berdasarkan keperluan pengeluaran masa nyata, sekali gus membantu meningkatkan produktiviti serta mengurangkan masa henti operasi.

    Prestasi memberangsangkan pada hari pertama dagangan ini dilihat mengukuhkan kedudukan Stratus Global sebagai antara pemain automasi semikonduktor yang berpotensi berkembang pesat, seiring peningkatan permintaan global terhadap penyelesaian automasi berteknologi tinggi.

  • Rockestra 5.0 Buktikan Muzik Rock Terus Relevan Dengan Sentuhan Simfoni

    Rockestra 5.0 Buktikan Muzik Rock Terus Relevan Dengan Sentuhan Simfoni

    Konsert Rockestra 5.0 sekali lagi membuktikan bahawa muzik rock terus mempunyai tempat istimewa dalam hati peminat apabila dipersembahkan dalam pendekatan yang lebih segar dan kreatif. Anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), konsert yang berlangsung di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana itu menghimpunkan ribuan penonton yang hadir bagi menikmati gabungan unik antara muzik rock dan orkestra.

    Sebagai sebahagian daripada program Semarak Seni @ Panggung Anniversari 2026, Rockestra 5.0 tampil dengan identiti tersendiri melalui susunan muzik yang menggabungkan elemen klasik dan moden. Setiap karya diberi nafas baharu menerusi iringan orkestra tanpa menghilangkan kekuatan melodi serta semangat rock yang menjadi tunjang utama persembahan.

    Konsert selama hampir tiga jam itu dipacu oleh 60 pemuzik Orkestra Kuala Lumpur yang diketuai konduktor Isa Ismail. Ketelitian dalam setiap susunan muzik berjaya menghasilkan persembahan yang kaya dengan emosi, sekali gus memberi dimensi baharu kepada lagu-lagu yang dipersembahkan sepanjang malam.

    Barisan artis seperti Muzza, Pat Candy, Lan Solo, Pasya, CDNaz, King Shah (Metalasia) dan penyanyi jemputan CA-AH masing-masing berjaya memberikan persembahan yang menghiburkan. Setiap penyanyi membawa identiti tersendiri, menjadikan perjalanan konsert penuh dengan variasi dan kejutan.

    Antara persembahan yang paling mendapat perhatian ialah nyanyian Pasya menerusi lagu “Bohemian Rhapsody”. Karya ikonik nyanyian asal Queen itu dipersembahkan dengan susunan simfoni yang lebih dramatik sehingga menerima sorakan gemuruh daripada para penonton.

    Kemuncak konsert menyaksikan Metalasia bersama CA-AH membawakan lagu “Khalifah Alam Maya” dan “Puspasari Penawar Puteri”. Persembahan tersebut menggabungkan elemen metal, budaya tempatan dan muzik orkestra sehingga menghasilkan sebuah persembahan yang penuh karakter serta meninggalkan impak mendalam kepada penonton.

    Selain kekuatan muzik, Rockestra 5.0 turut menyerlah menerusi aspek produksi yang cemerlang. Paparan visual LED, pencahayaan dinamik serta sistem audio yang mantap berjaya melengkapkan keseluruhan persembahan, sekali gus menjadikan konsert ini sebagai antara acara muzik paling berkualiti yang dianjurkan tahun ini.

    Kejayaan Rockestra 5.0 membuktikan usaha DBKL dalam memperkasa seni persembahan terus mendapat sambutan positif daripada masyarakat. Konsert ini bukan sahaja mengangkat muzik rock ke tahap lebih tinggi, malah mengukuhkan Panggung Anniversari sebagai destinasi utama persembahan seni bertaraf antarabangsa.

  • AIGNER Malaysia Celebrates Legacy and Elegance with Dato’ Khadijah Ibrahim

    AIGNER Malaysia Celebrates Legacy and Elegance with Dato’ Khadijah Ibrahim

    Renowned German luxury leather brand AIGNER recently hosted an exclusive customer appreciation event at its boutique in IOI City Mall, welcoming Malaysia’s beloved singer and cultural icon, Dato’ Khadijah Ibrahim. The special gathering was held as a celebration of artistry, heritage and the timeless values that have shaped AIGNER’s identity for decades. Bringing together luxury enthusiasts and invited guests, the event highlighted the shared appreciation between the world of fashion craftsmanship and artistic excellence.

    With a history rooted in precision, passion and exceptional craftsmanship, AIGNER has long been recognised for its dedication to creating luxury leather pieces that combine tradition with modern sophistication. Every creation reflects the brand’s commitment to quality, attention to detail and the artistry of skilled craftsmen. These principles have allowed AIGNER to maintain its position as a symbol of elegance and refined lifestyle across generations.

    The presence of Dato’ Khadijah Ibrahim added a meaningful touch to the occasion, as her remarkable journey in the Malaysian music industry reflects the same values celebrated by AIGNER. Having built a successful career spanning over four decades, she continues to inspire audiences through her powerful voice, artistic dedication and genuine connection with fans. Her contributions have established her as one of Malaysia’s most respected entertainers.

    Throughout her career, Dato’ Khadijah Ibrahim has consistently demonstrated passion, discipline and a pursuit of excellence. These qualities closely mirror AIGNER’s philosophy of preserving heritage while continuing to evolve with contemporary trends. Her timeless presence and dedication to her craft represent the spirit of individuals who leave a lasting impact through their work.

    During the event, guests were given the opportunity to engage with Dato’ Khadijah Ibrahim in a personal and memorable setting while exploring AIGNER’s latest collections. The boutique experience showcased the brand’s signature leather craftsmanship, featuring elegant designs that embody sophistication, functionality and enduring style.

    The celebration also served as a reminder of the connection between luxury and storytelling. Beyond the beauty of each AIGNER creation lies a dedication to craftsmanship and the people who bring these designs to life. Similarly, artists like Dato’ Khadijah Ibrahim represent years of dedication, creativity and passion that continue to inspire future generations.

    AIGNER’s collaboration with personalities who embody excellence reflects its commitment to celebrating meaningful achievements and cultural contributions. By recognising individuals who have dedicated their lives to mastering their craft, the brand continues to strengthen its connection with communities that value authenticity, creativity and heritage.

    Through this special customer appreciation event, AIGNER reaffirmed its appreciation for timeless artistry and exceptional talent. The celebration with Dato’ Khadijah Ibrahim represented more than a meeting between fashion and music—it was a tribute to dedication, legacy and the enduring beauty of craftsmanship that continues to inspire beyond generations.

  • ‘Good Boys Go To Heaven’ gabung suspens dan trauma, lakonan berkesan Beto Kusyairy dan Zahirah MacWilson

    ‘Good Boys Go To Heaven’ gabung suspens dan trauma, lakonan berkesan Beto Kusyairy dan Zahirah MacWilson

    Astro menerusi jenama Astro Originals terus memperkukuhkan komitmennya dalam menghasilkan kandungan premium merentasi pelbagai genre yang mampu memikat hati peminat dan penonton Malaysia dengan karya terbaharu berjudul ‘Good Boys Go To Heaven’. Siri terbitan Astro Shaw ini dijadualkan menemui penonton bermula 8 Mei 2026, setiap hari Jumaat, sama ada pada jam 12.00 tengah malam secara On Demand atau jam 9.00 malam di Astro Ria (Saluran 104) dan Astro Citra (Saluran 108).

    Seiring usaha memperluaskan genre thriller psikologi, ‘Good Boys Go To Heaven’ diterajui oleh penulis skrip terkemuka dan pemenang Anugerah Festival Filem Malaysia, Mira Mustaffa, yang juga merupakan bakat kreatif Astro Shaw serta bertindak sebagai showrunner bagi siri ini. Kisahnya berpusat kepada Yasser, seorang bapa yang berdepan mimpi ngeri setiap ibu bapa apabila anak lelakinya, Ahyan, dilaporkan hilang sebelum ditemui dalam keadaan tragis selepas dibunuh dengan kejam. Naratif ini turut mengangkat isu trauma yang menyentuh emosi, sambil menyorot bagaimana kesannya bukan sahaja dirasai individu, malah mempengaruhi orang di sekeliling mereka.

  • Bella Astillah Semarakkan Aidilfitri Dengan “Ya Raya” Bersama Fipper

    Bella Astillah Semarakkan Aidilfitri Dengan “Ya Raya” Bersama Fipper

    Penyanyi dan pelakon terkenal, Bella Astillah, menyemarakkan lagi suasana Aidilfitri tahun ini dengan pelancaran single Raya terbaharu berjudul “Ya Raya”. Lagu ini ditulis oleh Rudeen, dikompos oleh Rudeen dan Exactesy serta diterbitkan oleh Exactesy, menampilkan susunan muzik yang menggabungkan elemen moden dan tradisional dalam satu gabungan segar tanpa menghilangkan jiwa muzik Raya yang dekat di hati pendengar. Sarat dengan keceriaan, kesyukuran dan semangat kebersamaan, “Ya Raya” hadir sebagai runut bunyi yang meraikan momen indah bersama insan tersayang.

    Menurut Bella, hubungan emosinya dengan lagu ini terjalin sejak pertama kali mendengar demo. Beliau merasakan “Ya Raya” sangat positif dan menggambarkan suasana perayaan yang sering dilalui setiap tahun, sama ada di kampung mahupun di bandar. Lagu ini disifatkan sebagai ringan, penuh kesyukuran dan meraikan masa bersama keluarga serta rakan-rakan, dengan elemen ceria yang mampu membuatkan pendengar tersenyum dan benar-benar menepati mood Raya.

    Walaupun kedengaran bertenaga dan ceria, proses rakaman lagu ini mempunyai cabarannya tersendiri apabila Bella kurang sihat dan demam ketika sesi rakaman berlangsung. Cabaran utama adalah untuk mengekalkan tenaga dan keceriaan dalam vokal agar tidak kedengaran dibuat-buat. Namun begitu, bahagian korus yang catchy menjadi momen paling menyeronokkan apabila suasana studio turut sama meriah dengan semua yang hadir menyanyi bersama.

    Keistimewaan “Ya Raya” terletak pada keseimbangan antara bunyi klasik Raya dan sentuhan kontemporari yang segar. Lagu ini mengekalkan rasa Raya yang dikenali ramai, tetapi dengan susunan muzik yang lebih moden dan sesuai dengan citarasa pendengar masa kini. Pendekatannya lebih menumpukan kepada meraikan momen kecil bersama orang tersayang, bukan sekadar kemeriahan besar perayaan semata-mata.

  • Buakaw Tewaskan Menggofeng dalam Pertarungan Epik

    Buakaw Tewaskan Menggofeng dalam Pertarungan Epik

    Penganjuran T-Fight All Star 2026 di Stadium Titiwangsa berlangsung dengan penuh meriah apabila menghimpunkan lapan pertarungan sengit yang menampilkan barisan pejuang tempatan dan antarabangsa. Sejak awal acara, setiap pertarungan menyajikan aksi bertenaga dan disiplin tinggi, namun kemuncak malam sudah pasti terarah kepada perlawanan utama yang dinanti-nantikan penonton. Sorakan bergema memenuhi stadium sebaik sesi walkout berlangsung, sekali gus menambah debaran sebelum aksi kemuncak bermula. Dalam pertembungan tersebut, Buakaw berjaya menewaskan Menggofeng menerusi keputusan mata selepas aksi yang cukup kompetitif dan seimbang, dengan beliau dilihat lebih konsisten dari segi serangan dan kawalan gelanggang sehingga memikat hati juri untuk memberinya kemenangan mutlak pada penghujung pertarungan.

    Dalam pada itu, perhatian turut terarah kepada legenda Muay Thai dunia, Buakaw Banchamek yang sekali lagi membuktikan kehebatannya masih berbisa walaupun sudah berusia 43 tahun. Berhadapan lawan yang jauh lebih muda, Menggofeng yang berusia 29 tahun, Buakaw tetap mempamerkan ketahanan fizikal, pengalaman serta taktikal yang tinggi, sekali gus menunjukkan bahawa usia bukan penghalang untuk terus bersaing di peringkat tertinggi. Aksi yang dipamerkan mengukuhkan lagi statusnya sebagai legenda sejati dan ikon yang terus menjadi inspirasi dalam dunia Muay Thai.

    Menurut pengasas T-Fight, pihaknya turut merancang untuk membawa masuk nama besar Muay Thai dunia seperti Rodtang Jitmuangnon bagi edisi akan datang, namun perkara tersebut masih di peringkat perancangan dan belum dimuktamadkan. Secara keseluruhan, T-Fight All Star 2026 berjaya mencipta malam penuh aksi, dramatik dan berprestij, sekali gus mengangkat martabat sukan tempur di Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. Terima kasih.

  • The Soundstage Jadi Game Changer, AJL40 Lebih Epik Tahun Ini!

    The Soundstage Jadi Game Changer, AJL40 Lebih Epik Tahun Ini!

    Bahang Anugerah Juara Lagu ke-40 semakin terasa selepas pengumuman rasmi Top 10 finalis yang mencuri perhatian ramai. Dalam usaha memeriahkan lagi perjalanan menuju malam kemuncak, sebuah konsert khas bertajuk The Soundstage diperkenalkan sebagai pemanas suasana. Pengumuman mengenai penjualan tiket telah dibuat melalui program MBuzz, sekali gus mengundang keterujaan dalam kalangan peminat muzik tanah air.

    Bertempat di Zepp Kuala Lumpur pada 12 Jun 2026, konsert ini akan bermula pada jam 8.30 malam dengan konsep yang cukup istimewa. Penonton bakal menikmati perjalanan muzik yang merentas masa, mengimbau kembali evolusi AJL selama 40 tahun. Empat penyanyi terkenal iaitu Ernie Zakri, Khai Bahar, Haqiem Rusli dan Siti Nordiana akan berganding di pentas yang sama untuk menghidupkan semula karya-karya popular.

    Persembahan yang disusun akan menampilkan gabungan lagu-lagu klasik dan moden, termasuk karya yang pernah memenangi trofi AJL. Setiap artis akan memberikan interpretasi tersendiri, menjadikan setiap lagu tampil dengan nafas baharu. Ini sekali gus mencerminkan kepelbagaian dan perkembangan muzik tempatan yang terus berkembang dari satu generasi ke generasi lain.

    The Soundstage bukan sekadar konsert, tetapi satu pengalaman yang membawa penonton lebih dekat dengan memori dan emosi yang pernah tercipta melalui lagu. Tiket boleh dibeli secara dalam talian di WOWTix dengan harga yang berbeza mengikut kategori tempat duduk. Peminat juga boleh menantikan pelbagai aktiviti sampingan menarik yang akan diumumkan tidak lama lagi.